Assalamualaikum...
(sekadar
memetik attachement dr seorg teman... semoga terdetik sesuatu di hati utk
difikirkan bersama..Wallahu 'Allam)
PADA waktu Rasulullah s.a.w mengembala kambing, ada
sekumpulan remaja melepak tidak jauh daripadanya sambil berborak dan ketawa.
Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi
datang bertanyakan Rasulullah s.a.w :
"Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan
melepak seperti remaja di sana itu?"
Dengan tegas, Rasulullah s.a.w menjawab : "Saya
diciptakan bukan untuk itu."
Jawapan baginda itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan
satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan hingga
melalaikan, itu yang merosakkan.
Di sebalik jawapan Nabi s.a.w yang agung itu, ada mesej
penting iaitu hidup ini untuk beribadat kepada Allah.
Kadang-kadang ada yang lepak hingga lupa untuk menunaikan
solat. Mereka yang bermain bola pada waktu petang di padang tidak lagi malu
dengan azan yang berkumandang. Padang bola pula berdekatan dengan surau atau
kadang-kadang bersebelahan pula dengan masjid.
Haiwan ternakan seperti kambing dan lembu pun balik ke
kandang tetapi sesetengah kita asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi
jalan. Inilah yang dilarang Nabi.
Waktu kerja, waktu rehat, masa tidur, makan dan bermain ada,
tetapi sayangnya waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.
Ada yang beribadat apabila berkesempatan dan bila tidak
sempat qada saja. Ada pula memberikan alasan sibuk. Kadang-kadang ada remaja
bertanya, kenapa perlu beribadat?
Ada enam alasan kita mesti mengabdikan diri kepada Allah.
Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur
walau bagaimana sibuk.
Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita
beribadat kepada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan
jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (Al-Quran, surah
adz-Dzaariyat: 56)
Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya,
atas nikmat yang terlalu banyak.Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak
nikmat, malah dapat percuma.
Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam
roh. Firman Allah maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan
zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka
saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu?
Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi... " (Al-Quran, surah
al-A'raaf:172)
Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan
kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut
(kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas
beribadat, apatah lagi kita.
Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami mengutus
dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan
jauhilah taghut... " (Al-Quran, surah al-Nahl: 36)
Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada
Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita,
kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah
lagi jika menyembah tuhan lain.
Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab
yang amat mengerikan menanti di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang
derhaka pada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat
pengakuan.
Ini terbukti dalam firman Allah maksudnya: "Katakanlah:
Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab
hari yang besar (hari Kiamat)." (Al-Quran, surah al-An'am: 15)
Permata: Mahu alasan apakah lagi tuk kita sedar tuntutan
beribadah padaNYA...? Tepuk dada, tanya diri dan jawablah sendiri...jom
munasabah diri... (^_^)

No comments:
Post a Comment